Malam ini secawan coklat panas dicampur kopi menemani.
Hakikat bahawa mata ini tak mahu nak pejam-pejam sejak dua tiga hari ini membangkitkan semangat saya untuk menelaah pelajaran serba sedikit. Lebih-lebih lagi, dengan tarikh exam yang masih belum ditetapkan lagi oleh para pensyarah, mahu tak mahu lebih baik saya ambil peluang ini untuk bersengkang mata sebentar dengan buku. Tetiba dibuatnya secara mengejut kan naya nantinya? Lagipun, alang-alang mata ini masih segar dan celik walaupun letih mencuba untuk dipejam berkali-kali, apa salahnya bukan?
Entah kenapa malam ini saya terasa hendak minum kopi pula sedangkan secawan coklat panas sudah sedia dibancuh. Saya ini sebenarnya sudah lama berpuasa daripada sebarang benda berkaffein selain coklat. Sepanjang berpuasa, tak pernahlah pula saya terasa hendak minum kopi sehingga ke malam ini. Terpaksalah dicampurkan sedikit serbuk kopi semata-mata kerana saya mengidam. Hai saya ini, kalau sudah teringin memang susah sedikit hendak melawan kehendak nafsu. Lemah sungguh pertimbangan hati saya ini, ya? Sudahlah mengalami sindrom mata tak boleh nak lelap, dibuatnya pula kopi. Memang mengarut sungguh. Haha.
Musim salju di bumi Soviet ini saya kira tak lama lagi akan berakhir. Suhu sudah mula meningkat, dulunya asyik di bawah paras sifar, kini sudah terasa kehangatannya meskipun cuma beberapa darjah bezanya di atas paras sifar. Meskipun sudah positif, masih lagi terasa dingin sebenarnya dek deruan angin yang boleh dikatakan agak kuat di kota ini. Memang akan menggeletar jugalah jika pakaian yang dikenakan tidak sesuai. Cuma yang pasti, saya lihat ais sudah mula mencair dan lopak air yang biasanya melencunkan stoking sudah mula kelihatan. Ini bermaksud, musim melompat-lompat kecil untuk mengelak lopak air akan bermulalah tak lama lagi. Haha.
Sebenarnya post ini tiada apa-apa, sekadar mahu melepaskan rindu berblogging. Lagipun saya sebenarnya sudah lama berhasrat ingin menulis dalam lenggok bahasa yang begini, namun biasalah, sifat diri sendiri yang suka berprokrastinasi dengan diri saya ini selalu menghalang. Lagipun, bukankah dengan menulis dalam bahasa yang begini menampakkan saya lebih matang sedikit? Walaupun itu bukan niat saya yang sebenar, tapi boleh juga hehe.
Apa-apalah, janji saya bahagia dalam dunia saya sendiri. Mudah-mudahan, saya akan lebih kerap menulis dengan cara yang begini. Bukan apa, saya rasa macam lebih selesa untuk menulis begini. Mungkin sekarang cuma cuba-cuba, tapi rasanya, saya perlukan sedikit perubahan ke arah kematangan. Perubahan itu bagus, bukan? Tak perlu rasanya saya menghentam dan menulis post secara beremosi lagi. Sekurang-kurangnya kalau saya sedih, menulis dalam lenggok bahasa begini menampakkan saya lebih berbudi-bahasa dan sedikit matang. Haha saya ini memang betul perasan orangnya.
Apapun, saya masih ingat lagi yang saya masih lagi berhutang tentang cerita perjalanan saya pada cuti musim salju yang lepas. Nanti-nantilah, akan saya usahakan. Tapi bila janji itu akan ditepati, saya tak boleh janji. Dalam masa yang terdekat mungkin, buat penghilang stress. Oh ya, bercakap tentang penghilang stress, hajatnya saya cuma mahu "take 5" sebenarnya dengan menulis. Tak sangka terlajak pula. Baik saya hentikan saja tulisan saya di sini sebelum saya larut dalam coretan saya sendiri. Nanti tak tidur pula saya malam ini.
Mohon doakan saya dalam segenap hal ya, dan moga ketemu di lain post.
Salam malam semua.
Nota kaki - Saya baru tahu yang rupanya coklat itu aphrodisiac. Patutlah...
2 comments:
Kenapa puasa caffein? :o
@al-amin consumed way too much of it last year waktu nok final sampai saya rasa pening haha
Post a Comment