Sahabat,
Ditakdirkan kita sebagai makhluk bernama manusia di atas muka bumi Allah ini adalah dengan sifat muhajirin. Setiap daripada kita manusia ini, setiap hari adalah orang yang berhijrah, ingin berubah daripada takuk lama ke takuk yang baru. Ada yang ingin berubah dari takuk yang buruk ke takuk yang baru, manakala ada pula yang ingin berubah dari takuk yang baru ke takuk yang lebih baru. Tak kisahlah takuk yang lama itu buruk mahupun baik, yang penting, setiap manusia ingin berubah ke arah menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.
Dan proses ini pula, tidak akan lengkap berlaku tanpa ada sebarang cabaran dan rintangan. Takdirnya kita sebagai manusia, memang akan selalu diuji dari pelbagai sudut. Telah diceritakan berkali-kali di dalam kalam suci al-quran, jelas diperincikan bahawa hidup kita ini akan sentiasa dipujuk ke arah kesesatan oleh you-know-who sejak zaman Adam lagi. Kita sebagai manusia sememangnya akan dipujuk, dirayu oleh si durjana ke arah kesesatan kerana kita memang ditakdirkan begitu; punyai musuh yang membujuk kita ke arah itu.
Namun begitu, harus saya tekankan di sini bahawa manusia ini sering lupa bahawa mereka itu manusia. Mereka ini lupa yang mereka ini bukannya malaikat. Sering kali saya dengar kisah mereka yang berputus asa tatkala rasa diri tidak berjaya untuk berubah..yang mana dosa yang dilakukan itu, berulang ulang lagi dilakukan. Di sinilah ingin saya tegaskan bahawa di saat kita putus asa itu, yakinlah bahawa tatkala itu juga, berdekahan musuh kita yang satu itu tertawa kerana misi mereka itu akhirnya berjaya.
Oleh itu, kata kuncinya di sini ialah jangan mudah putus asa. Jangan sesekali fikir yang perubahan kita itu tidak berhasil. Cuba dan cuba lagi. Yakinlah bahawa segala khilaf yang berlaku itu adalah hasil pujukan syaitan dan silap diri sendiri yang senang digoda syaitan. Pohonlah perlindungan sebanyak mungkin supaya terlindung daripada bisikan syahdu mereka yang datang membisik, serta jangan lupa untuk menguatkan diri supaya tidak lagi lemah dalam buaian lena syaitan.
Dan andai kata kita gagal dan tergelincir sedikit dari landasan perubahan kita itu, maka di sinilah konsep pintu taubat itu perlu sentiasa dilekatkan dalam kepala bahawasanya ianya memang selalu terbuka untuk kita. Jangan sesekali fikir yang kita akhirnya tidak akan berjaya berubah. Apa yang penting, ikhlas dalam usaha kita untuk berubah, dan jangan putus asa.
Wallahualam.
Akhir sekali, ingin saya sentuh sedikit petikan daripada hadis 4 dari Hadis 40 oleh Imam Nawawi untuk peringatan; bahawa siapa kata kita yang hodoh dengan dosa ini tidak boleh berubah dah, nah ambek;
"..Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya jika salah seorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dengan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu didahului olehnya ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya, jika salah seorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu didahului olehnya ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga."
- Hadis Riwayat Bukhari & Muslim
Moga Allah redha, dan moga kita semua sentiasa dilindungi oleh bisikan syahdu mereka yang direjam.
No comments:
Post a Comment