Sunday, March 31, 2013

Please don't lie, please.

Seriously I can handle the truth
Really.
:(

Tuesday, March 26, 2013

Kopi panas penghilang letih (dan marah)

Saya dalam keletihan usai pulang dari menghadiri satu program agama. Entah kenapa letih benar saya malam itu. Sesudah menyalin pakaian dan menyiapkan segala urusan kecil, saya terus ke dapur untuk membancuh kopi buat penghilang letih, bimbang kalau-kalau keletihan saya ini berlarutan sehingga menyebabkan saya tertidur. Saya kena siapkan assignment malam itu juga, besok nak kena hantar. Sebab itulah saya melangkah ke dapur demi secawan kopi.

Ish itulah, siapa suruh buat kerja last minute sangat..

Sewaktu saya di dapur, saya lihat dapur masih lagi dalam keadaan yang tidak terurus. Ada si dia yang bertugas tidak menjalankan tanggungjawab dengan amanah, dan ini menyebabkan berlakunya sedikit salah faham dalam jadual bertugas. Sana-sini semuanya berselerak. Saya yang memang dalam keletihan ini apa lagi, mulalah merungut dan membebel di dapur sambil-sambil membancuh kopi. Biasanya saya jarang membebel begini macam makcik peah, sekadar redha-kan sahaja ataupun tolong mengemas apa yang patut, tapi entah malam itu mulut saya terasa terlebih gatal pula. Minda saya dan hati saya seakan-akan tidak selari. Seolah-olah saya lupa yang saya ini baru sahaja pulang dari program agama. Mungkin keletihan saya itu membantutkan otak saya untuk bertindak rasional barangkali..

Memanglah bunyinya seakan-akan saya tidak marah, tapi saya berkias dan menyindir secara tajam yang mampu merosakkan hubungan sesama rakan serumah kalau tidak dikawal. Ditambah pula saya sengaja meninggikan suara supaya didengari, Ya Allah saya rasa cukup malu kerana saya baru sahaja pulang dari ceramah agama, tapi nampaknya macam tak ada kesan pun ke atas diri saya. Sedihnya. Mujurlah saya sempat perasan tentang hal tersebut dan terus mengunci mulut.

Biarlah, yang penting saya tahu untuk berhenti. Yang terlepas dari mulut saya, saya biarkan sahaja. Orang kata terlajak kata tak boleh diundur, jadi saya biarkan sahaja, tak mahu mengeruhkan keadaan. Memang bukan malam mereka terpaksa mendengar saya membebel. Lagipun saya rasa mereka sudah lali dengan teknik sindiran saya, sebab ini bukannya kali yang pertama. Terkadang saya malu dengan perangai saya yang satu ini, tapi saya tak mampu menahan geram lama-lama. Susah nak bersabar, dan terkadang meletup. Rupanya memang sangat cepat hati saya ini berbolak-balik. Kenapa saya jadi macam ni? Mungkin hati saya dah mati barangkali? Si syaitan pula memang licik sungguh, dia tahu saya sedang letih maka dihasutnya supaya saya meletup. Astaghfirullah.. 

Sesudah kopi dibancuh, saya terus ke bilik dan mula duduk menghadap laptop untuk menaip. Memang saya akan tidur lambat nampak gayanya memandangkan saya tidak mula apa-apa lagi. Memang bermula dari kosong, zero, nada, nehi babuji. Dalam mencari idea dan menstimulasi otak, saya capai cawan kopi panas saya itu...dan saat saya menghirup, mata saya terbeliak, dan terbeliak bukan kerana saya mendapat ilham..

Haha saya terbubuh garam. Choii, terus hilang segala rasa mengantuk bagai. Sungguh tak kelakar, walaupun saya ketawa kecil malam itu. Memang saya akan ingat peristiwa ini bila-bila saya marah. Itulah, lain kali jangan mudah marah.

"Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Bukanlah ukuran kekuatan seseorang itu dengan menewaskan lawan tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menahan hawa nafsunya ketika marah". - Riwayat Bukhari

Tuesday, March 19, 2013

Masa

Kadang kala terasa bagai masa itu makin lama makin pantasnya berlalu.

Pantas sungguh masa berlalu, dan dalam lincahnya ia beredar dan bumi berputar, aku masih lagi berada di takuk yang lama. Tak bergerak. Statik.

Tatihku ini terasa tersangatlah lama, sedangkan masanya sudah tidak ada lagi. Jauh rasanya dari syurga..apatah lagi mahu dihidu baunya..

Allah..

"Kita tak sama, nasib di sana. Baikkah atau sebaliknya.." - Pergi Tak Kembali, Rabbani

Saturday, March 2, 2013

Rupanya salji di pagi hari..

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya salji di pagi hari..

Dalam penuh rasa yakin bahawa musim salju di bumi Moscow ini akan berakhir dek suhu yang kian meningkat tempoh hari, rupa-rupanya sangkaan saya itu semuanya meleset. Pagi ini, saya meredah salji yang turun dengan lebat sekali untuk ke kelas. Siapa sangka hari ini salji akan turun? Sudahlah turun, dengan ketulan yang tebal dan lebat pula tu.

Sempat lagi Prof. Kochergin, pensyarah bagi subjek Dermatologi dan Penyakit-penyakit Venereal berjenaka di pagi buta dengan mengucapkan selamat menyambut musim bunga kepada kami. Iyalah, kalau mengikut kalendar, 1 Mac menandakan permulaan musim bunga. Sepatutnya sudah panas dengan kudupan bunga yang mahu mula mekar dan berkembang. Nak buat macam mana, saya ini bermukim sementara di kota yang dipanggil "winter wonderland". Musim salju di kota ini boleh dikatakan agak panjang, kadang-kadang boleh berlarutan hingga ke awal April. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya salji yang turun menaburi pagi saya itu sangatlah cantik.

Memang di Rusia ini, subhanallah sungguh cantik saljinya bila ia turun. Saya ini, sangat suka bila salji turun. Perasaan apabila salji itu turun dan menaburi alam sangat saya gemari. Terkadang, rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang ini untuk dapat merasai salah satu nikmat keindahan alam ciptaan Allah yang tak terhingga sehingga tak dapat saya luahkan dalam tulisan. Cukuplah sekadar saya katakan, salji yang berguguran itu sangat cantik. Suasananya, bagaikan terasa seperti dalam filem pula. Meskipun salji itu dingin, saya rela bermandikan salji sambil merenung empingan salji jatuh satu-persatu dari langit. Biasalah, saya tengah menghayati suasana.

Tapi, satu perkara yang saya tak tahan dengan salji ini, apabila salji yang turun itu mula mencair, ia akan melecakkan jalan. Habis kotor kasut saya ini dengan selut dan lecak, sangat saya tidak gemari. Kalau silap perancangan pada hari tersebut dan saya memakai kasut yang berkain, habis basah kasut saya itu sehingga melencunkan stoking. Sungguh tidak selesa.

Biarlah, orang cakap, apa sahaja yang kita lakukan pasti akan ada kesannya. Baik atau buruk, itu bergantung. Kita cuma mampu merancang sahaja. Macam merancang yang musim salju ini akan berakhir..siapa sangka hari ini salji turun dengan lebatnya huhu.

Apapun, kali ini saya tak mahu jangka-jangka lagi. Sekadar menzahirkan sedikit pengharapan di sanubari sudah cukup sudah. Itulah, lain kali jangan cuba hendak meramal masa depan, lebih-lebih lagi dalam aturan alam. Susah dan memang tak boleh dijangka. Bukan apa, hati saya ini tengah rindu akan kehangatan sang mentari dan hijaunya lambaian rumput. Lagipun, kawan saya pernah berkata, kajian pernah menyatakan bahawa musim salju boleh memurungkan manusia. Patutlah..

Apa-apalah. Yang pasti harapan saya moga Allah permudahkan hidup saya segala. Dan juga, moga sebutan man jadda wa jada bukan hanya sekadar sebutan di bibir saya. Moga Allah redha dan teguhkan hati saya ini dalam segenap hal..