Saturday, March 2, 2013

Rupanya salji di pagi hari..

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya salji di pagi hari..

Dalam penuh rasa yakin bahawa musim salju di bumi Moscow ini akan berakhir dek suhu yang kian meningkat tempoh hari, rupa-rupanya sangkaan saya itu semuanya meleset. Pagi ini, saya meredah salji yang turun dengan lebat sekali untuk ke kelas. Siapa sangka hari ini salji akan turun? Sudahlah turun, dengan ketulan yang tebal dan lebat pula tu.

Sempat lagi Prof. Kochergin, pensyarah bagi subjek Dermatologi dan Penyakit-penyakit Venereal berjenaka di pagi buta dengan mengucapkan selamat menyambut musim bunga kepada kami. Iyalah, kalau mengikut kalendar, 1 Mac menandakan permulaan musim bunga. Sepatutnya sudah panas dengan kudupan bunga yang mahu mula mekar dan berkembang. Nak buat macam mana, saya ini bermukim sementara di kota yang dipanggil "winter wonderland". Musim salju di kota ini boleh dikatakan agak panjang, kadang-kadang boleh berlarutan hingga ke awal April. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya salji yang turun menaburi pagi saya itu sangatlah cantik.

Memang di Rusia ini, subhanallah sungguh cantik saljinya bila ia turun. Saya ini, sangat suka bila salji turun. Perasaan apabila salji itu turun dan menaburi alam sangat saya gemari. Terkadang, rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang ini untuk dapat merasai salah satu nikmat keindahan alam ciptaan Allah yang tak terhingga sehingga tak dapat saya luahkan dalam tulisan. Cukuplah sekadar saya katakan, salji yang berguguran itu sangat cantik. Suasananya, bagaikan terasa seperti dalam filem pula. Meskipun salji itu dingin, saya rela bermandikan salji sambil merenung empingan salji jatuh satu-persatu dari langit. Biasalah, saya tengah menghayati suasana.

Tapi, satu perkara yang saya tak tahan dengan salji ini, apabila salji yang turun itu mula mencair, ia akan melecakkan jalan. Habis kotor kasut saya ini dengan selut dan lecak, sangat saya tidak gemari. Kalau silap perancangan pada hari tersebut dan saya memakai kasut yang berkain, habis basah kasut saya itu sehingga melencunkan stoking. Sungguh tidak selesa.

Biarlah, orang cakap, apa sahaja yang kita lakukan pasti akan ada kesannya. Baik atau buruk, itu bergantung. Kita cuma mampu merancang sahaja. Macam merancang yang musim salju ini akan berakhir..siapa sangka hari ini salji turun dengan lebatnya huhu.

Apapun, kali ini saya tak mahu jangka-jangka lagi. Sekadar menzahirkan sedikit pengharapan di sanubari sudah cukup sudah. Itulah, lain kali jangan cuba hendak meramal masa depan, lebih-lebih lagi dalam aturan alam. Susah dan memang tak boleh dijangka. Bukan apa, hati saya ini tengah rindu akan kehangatan sang mentari dan hijaunya lambaian rumput. Lagipun, kawan saya pernah berkata, kajian pernah menyatakan bahawa musim salju boleh memurungkan manusia. Patutlah..

Apa-apalah. Yang pasti harapan saya moga Allah permudahkan hidup saya segala. Dan juga, moga sebutan man jadda wa jada bukan hanya sekadar sebutan di bibir saya. Moga Allah redha dan teguhkan hati saya ini dalam segenap hal..

No comments: